Pada 21 hingga 24 Februari 2013 yang lepas. Hospital Kunak telah mengadakan Kem Motivasi Budaya Korporat iaitu Ekspedisi ke Maliau Basin Conservation Area ‘Sabah Lost World’. Ekspedisi ini merupakan ekspedisi pertama yang belum pernah dilakukan oleh pihak hospital sebelum ini. Ekspedisi ini disertai oleh seramai 19 orang peserta yang terdiri daripada Ketua-ketua Unit dan kakitangan hospital.
Pada 21 Februari 2013 iaitu hari pertama ekspedisi, para peserta memulakan perjalanan dari Lobi Utama Hospital Kunak seawal jam 8:30 pagi dengan menggunakan 2 buah kenderaan jabatan dan sebuah kenderaan persendirian. Para peserta ekspedisi melakukan perhentian di Tawau untuk mengambil sarapan pagi dan kemudiannya meneruskan perjalanan dan tiba di pintu masuk utama Maliau Basin Conservation Area pada jam 3:30 petang. Jarak antara pintu masuk utama dengan Lobi Utama / Pejabat Pentadbiran Maliau Basin Conservation Area adalah sejauh 27 KM. Disebabkan jalan masuknya yang teramat teruk dan berbecak, ketiga-tiga kenderaan hospital mengalami kesukaran untuk melalui jalan tersebut dan mengambil masa 4 jam untuk tiba di Lobi Utama Maliau Basin Conservation Area iaitu sekitar jam 8:00 malam. Para peserta kemudiannya membuat pendaftaran masuk, gotong-royong memasak untuk makan malam, mendengar taklimat pengenalan daripada pihak pengurusan Maliau Basin dan seterusnya kembali ke bilik masing-masing untuk berehat.
Pada hari kedua iaitu pada 22 Februari 2013, para peserta menyedia dan mengambil sarapan pagi seawal jam 7 pagi sebelum bertolak ke Agathis Camp iaitu tempat bermulanya aktiviti merentas hutan atau lebih dikenali dengan istilah ‘jungle trekking’. Para peserta merentas hutan sejauh 7.5KM dan mengambil masa sekitar 5 hingga 6 jam untuk tiba di kem penginapan Nepenthis (Camel Trophie Camp). Di situ, para peserta terpaksa menjalani kehidupan seperti di kawasan pedalaman kerana perlu memasak menggunakan kayu api berbekalkan air yang diangkut daripada sungai yang terletak sejauh 50M menuruni curam bukit dari kem penginapan. Di samping itu, sebahagian daripada peserta ekspedisi terpaksa menuruni curam bukit tersebut untuk mandi di sungai. Kem tersebut tidak mempunyai bekalan elektrik dan hanya bergantung kepada genset sahaja.
Pada hari ketiga, semua peserta memulakan trekking pada sekitar jam 8:30 pagi selepas mengambil sarapan yang dimasak seawal jam 5:30 pagi. Jumlah jarak yang perlu direntasi pada hari ketiga ialah 15KM yang meliputi 10KM pergi dan balik dari kem penginapan Ginseng (kem penginapan untuk hari ketiga) ke destinasi / matlamat utama ekspedisi ini iaitu Air Terjun 7 Tingkat Maliau (Maliau Waterfall). Para peserta amat terpegun dengan keindahan Air Terjun Maliau yang amat besar dan tinggi, airnya berwarna kuning keperangan dan sejuk, namun begitu para peserta tidak melepaskan peluang untuk mandi-manda dan mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan. Kemudahan asas yang disediakan di kem penginapan Ginseng adalah lebih baik daripada kem penginapan Nepenthis kerana mempunyai bekalan air yang dipam terus daripada sungai yang berdekatan ke dalam tangki yang disediakan di kem. Walaubagaimanapun, para peserta masih perlu memasak menggunakan kayu api dan bekalan elektrik adalah daripada genset.
Pada hari keempat iaitu hari terakhir ekspedisi, para peserta memulakan ‘trekking’ seawal jam 8:30 pagi diiringi dengan hujan renyai-renyai dan pacat-pacat yang sedang mencari mangsa. Jarak perjalanan adalah sejauh 9KM dan mengambil masa antara 4 hingga 5 jam untuk tiba di Agathis Camp (tempat bermula dan berakhirnya aktiviti trekking ini). Setibanya ke Agathis Camp, para peserta menghilangkan kepenatan dan kekotoran masing-masing dengan mandi di sungai dan tandas yang terdapat di sana. Para peserta kemudiannya memulakan perjalanan balik dan terpaksa melalui semula jalan berbecak sebelum tiba di Hospital Kunak pada jam 4:15 pagi (25 Februari 2013).