Hospital KunakHospital Kunak
Laman Web Rasmi

Hospital Kunak

Kesihatan Milik Semua

Latar Belakang Hospital Kunak

Kunak adalah merupakan salah sebuah daerah kecil yang terletak di sebelah Tenggara Pantai Timur Sabah, ianya sejauh kira-kira 500 KM dari Bandaraya Kota Kinabalu, 74 KM dari Bandar Lahad Datu, 78 KM dari Semporna dan 88 KM dari Bandar Tawau. Daerah Kunak mempunyai keluasan 438 batu persegi dan penduduknya seramai 54,326 orang pada tahun 2005. Masyarakat Kunak terdiri daripada pelbagai suku kaum seperti Bajau, Bugis, Cina, Kadazan dan lain-lain. Pekerjaan utama penduduk-penduduk di daerah ini adalah berasaskan pertanian seperti kelapa sawit dan koko, dan juga perikanan sebagai nelayan. 

Daerah Kunak terbahagi kepada 2 mukim iaitu mukim Pangi dan mukim Madai, terdiri daripada 39 buah kampung. Terdapat 13 Jabatan Kerajaan Negeri dan 8 Jabatan Persekutuan. Hanya 2 Agensi Swasta iaitu SESB dan Telekom.

Hospital Kunak terletak 2 KM dari jalan utama antara Bandar Tawau dan Bandar Lahad Datu. Hospital ini mula dibina pada Mei 2001 dengan kos pembinaan sebanyak RM 80,297,144.25 dengan jumlah keluasan sekitar 30 ekar. Hospital ini telah siap dibina pada 15 Disember 2005 dan upacara ‘Handing Over' juga dilakukan pada hari yang sama. Hospital ini mula beroperasi dengan rasminya pada 15 Mac 2006 yang disempunakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N51 Kunak, YB. Datuk Hj. Jasa bin Datuk Hj. Raudah dan disaksikan oleh Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan orang ramai.

Hospital ini juga mempunyai kemudahan fasiliti seperti Kompleks Perubatan, 4 unit kuarters bertingkat, sebuah Poliklinik dan Asrama Jururawat. Hospital ini terdiri daripada 3 buah wad Rawatan Pesakit Dalam dan sebuah Dewan Bersalin, Pejabat Pengurusan dan Pentadbiran, Unit Rekod Perubatan, Unit Kecemasan dan Trauma, Dewan Bedah, Unit Patologi dan Tabung Darah, Unit Radiologi, Unit Farmasi dan Logistik, Unit Sajian, Unit Pensterilan dan Sucihama (CSSU), Unit Rehabilitasi, Unit Hemodialisis, Unit Kualiti dan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Selain itu, terdapat juga kemudahan untuk beriadah seperti gelanggang tenis, gelanggang bola jaring, taman permainan kanak-kanak dan juga kemudahan pendaratan helikopter kelas pertama.

Hospital Kunak adalah salah satu hospital kluster Tawau sejak tahun 2013.

 

Print article