Pada 21 September 2012 iaitu bersamaan dengan hari Jumaat, satu lawatan yang bertujuan untuk menerang dan melaksanakan projek perintis Hospital Cluster telah diadakan di Hospital Kunak. Lawatan tersebut dilakukan oleh 3 orang wakil dari Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya iaitu Timbalan Pengarah Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan, Y.Bhg Datin Dr. Nor Akma Yusuf, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Perkhidmatan Pengurusan Hospital, Dr. Laili Murni Mokhtar serta seorang Doktor Pakar.
Para rombongan tiba di Hospital Kunak pada pukul 8:30 pagi dan disambut oleh Timbalan Pengarah Hospital, Dr. Norbayah Sarjono serta Ketua-Ketua Unit. Timbalan Pengarah yang juga mewakili Pengarah Hospital yang sedang menjalankan tugas di negara luar menyampaikan ucapan selamat datang ke Hospital Kunak kepada rombongan tersebut. Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak kementerian kerana sudi memilih Hospital Kunak sebagai salah satu pusat projek perintis Hospital Cluster selain daripada Hospital Tawau dan Hospital Semporna. Beliau amat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh pihak kementerian dan berjanji akan memberikan yang terbaik bagi menjayakan projek perintis ini.
Ucapan diteruskan dengan taklimat ringkas berkenaan Hospital Cluster yang disampaikan oleh Dr. Laili Murni Mokhtar yang juga merupakan seorang yang berpengalaman dalam perlaksanaan projek ini. Beliau memaklumkan bahawa pihak kementerian telah memilih Hospital Tawau, Hospital Semporna dan Hospital Kunak sebagai pusat projek perintis Hospital Cluster bagi Zon Sabah sebelum diperluaskan kepada zon-zon yang lain. Hospital Cluster adalah gabungan daripada beberapa buah hospital yang dipisahkan oleh keadaan geografi dan berada dalam satu negeri yang sama. Hospital-hospital ini akan bertindak sebagai satu unit dan saling berkongsi sumber, kemudahan, tenaga kerja dan kelengkapan bagi memastikan perkhidmatan yang optimum dapat disampaikan kepada pelanggan. Beliau berharap projek ini akan berjalan dengan lancar di samping mengharapkan komitmen yang tinggi dari pihak hospital bagi memastikan objektif projek Hospital Cluster ini tercapai.
Lawatan berakhir pada sekitar jam 1 petang dan rombongan tersebut bertolak ke Hospital Semporna iaitu salah satu lagi pusat projek perintis Hospital Cluster untuk memberikan taklimat dan penerangan yang sama berhubung projek ini.