Pada 11/09/2012 iaitu bersamaan dengan hari Selasa, Hospital Kunak dengan kerjasama Klinik Pergigian, Pejabat Kesihatan Kawasan Kunak dan Faber Medi-Serve (Perkhidmatan Sokongan Hospital) telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Kaamatan bagi tahun 2012. Majlis rumah terbuka ini diadakan di Lobi Utama Hospital Kunak dan terbuka kepada semua wargakerja Hospital Kunak, Klinik Pergigian, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Pejabat Kesihatan Kawasan Kunak dan Faber Medi-Serve.
Majlis rumah terbuka ini diadakan bermula pada jam 12:30 tengahari sehingga 3:00 petang. Antara tetamu VIP yang hadir pada majlis ini adalah Ahli Parlimen bagi kawasan P.188 Silam iaitu YB. Dr. Salleh bin Kalbi dan Pengarah Hospital Kunak, Dr. Hj. Asbullah bin Hj. Sudin. Selain itu, Hospital Kunak turut mengundang Ahli Lembaga Pelawat untuk hadir bagi memeriahkan lagi suasana majlis rumah terbuka ini.
Majlis dimulakan dengan ucapan pendahuluan dan selamat datang oleh Pengarah Hospital Kunak iaitu Dr. Hj. Asbullah bin Hj. Sudin. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan majlis rumah terbuka ini mahupun secara langsung atau tidak langsung.
Selepas itu, majlis diikuti dengan ucapan dari tetamu kehormat iaitu Ahli Parlimen P.188 Silam, YB. Dr. Salleh bin Kalbi. Dalam ucapan beliau menyatakan tentang pentingnya ikatan persaudaraan dan permuafakatan yang telah terjalin sekian lama di kalangan kita, maka dengan penganjuran majlis rumah terbuka ini sudah pasti akan dapat mengeratkan lagi hubungan yang telah sedia terjalin itu. Di akhir ucapan, beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Hospital Kunak kerana sudi menjemput beliau ke majlis ini.
Para tetamu mula disajikan dengan pelbagai makanan enak pada sekitar jam 1:00 petang, antara menu menarik yang ditampilkan adalah seperti sate ayam dan daging, ayam goreng, kek dan menu-menu yang lain. Selain itu, menu seperti kuih raya turut dihidangkan dan menambahkan lagi selera makan para tetamu yang hadir.
Walaubagaimanapun, majlis rumah terbuka ini berakhir lebih awal daripada yang dijangkakan iaitu sekitar jam 2:00 petang. Kesemua menu yang disajikan mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga tidak meninggalkan lebihan lauk. Para tetamu yang hadir amat gembira dan berpuashati dengan majlis rumah terbuka yang dianjurkan pada kali ini.