Hospital Kunak (https://hknk.moh.gov.my)
Kesihatan Milik Semua
Ekspedisi Kinabalu - 4 Tahun 2012
Category : Berita
Pada 30 hingga 31 Ogos 2012 yang lepas, satu Kem Motivasi Budaya Korporat iaitu Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu (Edisi ke-4) anjuran Hospital Kunak telah diadakan seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 55. Ekspedisi ini disertai oleh 24 orang peserta yang mana turut disertai oleh Pengarah Hospital Kunak sendiri iaitu Dr. Hj. Asbullah bin Hj. Sudin.
Para peserta telah berkumpul di Lobi Utama Hospital Kunak pada 29 Ogos 2012 seawal jam 4:30 pagi untuk menyertai konvoi ke daerah Kundasang iaitu tempat terletaknya Gunung Kinabalu yang merupakan gunung yang tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara. Sebanyak 5 buah kenderaan yang digunakan sepanjang ekspedisi ini dimana 3 daripadanya merupakan kenderaan jabatan dan selebihnya adalah kenderaan persendirian. Kesemua rombongan ekspedisi bertolak pada jam 6:00 pagi dari Hospital Kunak dan tiba di Kundasang pada sekitar jam 3:00 petang. Rombongan ekspedisi telah membuat lawatan ke Ladang Ternakan dan Pemprosesan Susu Lembu di Kundasang sebelum menginap di salah sebuah Homestay di daerah berkenaan.
Pada 30 Ogos 2012, para peserta memulakan pendakian ke Laban Rata tepat pada jam 9:30 pagi diiringi dengan cuaca sejuk pada suhu sekitar 18 darjah Celsius. Di Laban Rata, para peserta telah diberikan tempat penginapan di Gunting Lagadan untuk merehatkan diri dan mengumpul semula tenaga sebelum meneruskan pendakian ke puncak pada hari berikutnya. Pendakian ke puncak bermula pada jam 3:00 pagi (31 Ogos 2012) dan suhu di puncak tertinggi iaitu Low's Peak adalah pada 11 darjah Celsius. Namun para peserta tidak dapat menyaksikan keindahan matahari terbit disebabkan kabus tebal diiringi dengan hujan renyai yang menambahkan lagi kesejukan di puncak. Walaubagaimanapun, kesemua peserta yang sampai ke puncak amat berpuashati kerana segala penat lelah akhirnya terbalas dengan terkecapinya puncak tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 4,095.2 meter.
Pada peserta memulakan pendakian turun dari puncak pada sekitar jam 7:00 pagi dan kemudiannya bertolak ke Kolam Air Panas Poring yang terletak di daerah Ranau untuk menyegarkan badan disamping mengembalikan suhu badan ke tahap normal selepas mengharungi cuaca yang amat sejuk selama 2 malam berturut-turut di Gunung Kinabalu.
Para peserta memulakan perjalanan pulang ke Hospital Kunak pada 1 September 2012 dan kesemuanya amat gembira dan berpuashati dengan ekspedisi yang dianjurkan pada kali ini.
Album Gambar